Menerusi laporan mStar Online, Rozana, 36, selaku pengadu kes berkenaan memaklumkan perkara itu kepada Timbalan Pendakwa Raya, Goh Ai Rene pada hari keempat perbicaraan di Mahkamah Majistret, tengahari semalam.
Justeru, Timbalan Pendakwa Raya tersebut telah membuat permohonan secara lisan di hadapan Majistret agar keterangan Rozana boleh dibuat secara sidang video.
Permohonan itu dibuat pihak pendakwaan mengikut Seksyen 272 (B) Kanun Tata Cara Jenayah.
Seksyen 272B kanun itu membolehkan seseorang saksi dalam perbicaraan untuk memberikan keterangan melalui rakaman video atau secara langsung melalui siaran video atau televisyen.
Permohonan tersebut bagaimanapun dibantah oleh peguam yang mewakili Awie, Hazman Harun.
Jelas Hazman, pihaknya tidak dimaklumkan terlebih dahulu mengenai perkara itu lalu dia meminta agar satu permohonan bertulis dibuat kepada mahkamah berhubung isu itu. Ini bagi membolehkan kedua-dua belah pihak bersedia dengan nas dan undang-undang bagi membolehkam mahkamah membuat keputusan permohonan secara adil.
Majistret kemudiannya membenarkan bantahan tersebut dan meminta satu permohonan bertulis dikemukakan pihak pendakwaan pada 27 Mac ini.
Keputusan permohonan dan sambung bicara itu akan dibuat pada 22 April depan.
Sementara itu, Rozana sepatutnya tampil ke mahkamah untuk memberikan keterangan selepas tidak dapat berbuat demikian pada hari ketiga perbicaraan pada Rabu lalu.
Kelibat wanita itu dilihat berada di mahkamah seawal 11 pagi sebelum dilihat pulang kira-kira pukul 4 petang.
Mengikut pertuduhan, Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 46, didakwa sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Rozana pada 2 Jun tahun lalu kira-kira pukul 1.30 petang di alamat No. 9 Jalan UB 5B, Taman Ukay Bestari, Ukay Perdana Hulu Kelang di sini.
Pendakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Sumber : Murai Batu
0 comments:
Post a Comment