Searching...
Monday, August 3, 2015
10:26 PM 0

Jika nanti diadakan PRU, BN akan menang, InsyaAllah - Ahmad Maslan


Kuala Lumpur: Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan semalam telah tampil mengulas kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyifatkan kenyataan Ahmad Maslan mengenai "Kalau Esok PRU" boleh menjadi "Lawak Antarabangsa" kerana ia tidak masuk akal.

Ahmad berkata kenyataan Muhyiddin ‘Jika esok diadakan PRU, maka BN akan kalah,’ hanya mengundang persepsi negatif dan melemahkan semangat akar umbi untuk bekerja.

“Pantang datuk nenek untuk mengaku kalah sebelum masuk ke gelanggang.”

“Jika nanti diadakan PRU, BN akan menang, InsyaAllah,” katanya.

Beliau menegaskan dalam peperangan politik dan peperangan persepsi, semua ahli dan pemimpin UMNO haruslah memberi gambaran positif.

“Jika seorang jeneral perang sentiasa menyebut yang negatif, contohnya dalam perang ini kita akan kalah, maka segala askar dan pejuang tidak akan ada semangat utk menang, tidak akan berjuang habis-habisan," katanya.

Timbalan Menteri Perdangan Antarabangsa Dan Industri (MITI) itu turut berkata banyak contoh positif yang boleh dibuat perbandingan beberapa keputusan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) dengan PRU sebelumnya dan juga keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK).

Ahmad memberi contoh Parlimen Teluk Intan dan Pendang di mana Barisan Nasional tewas dalam PRU12 dan kemudiannya merampas semula kerusi tersebut dalam PRU13 dan PRK.

“Cerita kejayaan beginilah yang patut dihebahkan ketika memberi ucapan-ucapan dan bukan terus-terusan memberi gambaran sebaliknya.

“Banyak sudah program-program yang baik untuk rakyat telah dan sedang kita laksanakan. Takkanlah segalanya telah terpadam dengan hanya satu isu 1MDB, isu yang boleh diselesaikan.

“Maka saya kata, esok tidak perlu lagi diadakan PRU, masih ada masa, mungkin hingga tahun 2018. Namun, esok sudah boleh dimulakan persiapan untuk PRU itu,” ujarnya.


0 comments:

Post a Comment